JOHOR BAHRU: Semua taman eko rimba, trek pendakian dan laluan trek sukan lasak di hutan simpanan kekal di Johor mula ditutup untuk pengunjung awam mulai Jumaat lepas, susulan musim hujan berterusan.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor Datuk Salim Aman berkata penutupan berkenaan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, akan melibatkan lapan taman eko rimba, 13 trek pendakian dan dua trek sukan lasak.
“Bagaimanapun, bagi Hutan Taman Negeri Gunung Arong dan trek pendakian Gunung Arong di Mersing, akan mula ditutup pada 15 Dis ini sehingga dimaklumkan kelak.
“Insya-Allah, kawasan ekopelancongan dalam kawasan hutan simpan akan dibuka sekiranya keadaan cuaca mengizinkan, pihak kami akan pertimbang untuk membuka lebih awal,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Salim sehubungan itu, menasihatkan orang awam terutama penggemar sukan lasak dan pendakian dapat mematuhi arahan penutupan atas dasar keselamatan dan kepentingan awam.
Sementara itu, Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor Taufik Bahar berkata Taman Negara Endau-Rompin (Peta) dan Taman Negara Gunung Ledang (Lagenda) telah mula ditutup sejak 1 Dis lepas susulan musim hujan.
“Taman Negara Endau-Rompin (Peta) memang kita tutup kebiasaannya ketika musim Monsun Timur Laut kerana apabila hujan lebat berterusan akan menyebabkan jalan masuk ke kawasan berkenaan terputus.
”Bagi Taman Negara Gunung Ledang (Lagenda), kita memang tutup untuk aktiviti pendakian atas faktor keselamatan dan sebagai langkah berjaga-jaga disebabkan hujan berterusan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata Taman Negara-Endau Rompin (Selai) pula telah ditutup sejak Mac tahun ini susulan kesan runtuhan akibat banjir yang teruk pada bulan berkenaan, manakala Taman Negara Pulau Kukup ditutup bagi kerja-kerja penyelenggaraan.
Air terjun Gunung Ledang dan Taman Negara Tanjung Piai pula masih dibuka seperti biasa, namun dalam langkah berjaga-jaga.
“Nasihat saya sebelum datang ke taman negara, semak ramalan cuaca terlebih dahulu dan apabila berada di taman negara, patuhilah arahan renjer yang bertugas,” kata Taufik. -Bernama