KUCHING: Produktiviti pengendalian kontena Lembaga Pelabuhan Kuching (KPA) dijangka meningkat hampir dua kali ganda dengan beroperasinya dua kren dermaga baharu di Pelabuhan Senari, Kuching.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kren itu akan meningkatkan produktiviti pengendalian daripada 26 Pergerakan Kasar Sejam (GMPH) kepada 50 GMPH.
“Dengan teknologi dan keupayaan canggihnya, kren ini akan membolehkan kami mengendalikan kapal dan jumlah kargo yang lebih besar dengan kelajuan dan ketepatan yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kren di Pelabuhan Senari hari ini.
Uggah berkata kemudahan baharu itu akan meningkatkan daya saing KPA dan berupaya menarik lebih banyak syarikat perkapalan dan pembekal logistik.
Beliau berkata kerajaan Sarawak membeli jentera dan peralatan moden yang cekap tenaga untuk operasi pelabuhan bagi mengurangkan jejak karbon dan meminimumkan kesan alam sekitar.
Sementara itu, Uggah berkata pembinaan limbungan Roll-on Roll-off (Ro-Ro) baharu di Pelabuhan Senari berjalan mengikut jadual.
“Sehingga 25 Feb, kemajuan fizikal sebenar projek ini adalah pada 49.19 peratus berbanding kemajuan yang dijadualkan sebanyak 47.91 peratus.
“Projek ini dijadualkan siap pada suku keempat 2024. Projek ini akan membolehkan Pelabuhan Kuching menempatkan 2,500 unit kenderaan di Terminal Senari apabila siap,” katanya. -Bernama