KOTA BHARU: Polis menahan lima individu bagi membantu siasatan berhubung kes laporan palsu mengenai penemuan bayi dan penjualan bayi kepada pihak ketiga.
Ketua Polis Daerah Machang Supt Mohd Adli Mat Daud berkata pada mulanya pihaknya menerima laporan dibuat pasangan suami isteri, mengenai penemuan seorang bayi perempuan berusia 14 hari dalam sebuah beg pada Selasa (24 Okt).
Beliau berkata pasangan suami isteri berusia berusia 40 dan 43 tahun tahun itu mendakwa, menemukan bayi tersebut bersama nota tulisan tangan tercatit pengakuan penyerahan anak secara sukarela tanpa nama penulis dan sehelai borang kelahiran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, Terengganu yang tidak lengkap.
“Siasatan telah dijalankan dan maklumat ibu bayi dikenal pasti. Tangkapan awal kedua ibu bapa bayi berumur 24 dan 26 tahun telah dibuat pada Rabu (25 Okt).
“Siasatan mendapati laporan awal yang dibuat oleh suami isteri tersebut palsu, hasil siasatan mendapati mereka telah mendapatkan bayi tersebut dari orang tengah, dengan sejumlah bayaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Adli berkata semakan mendapati, bayi tersebut telah dilahirkan di HSNZ pada 5 Okt lalu.
“Disebabkan malu dan takut diketahui keluarga, kerana bayi dilahirkan dalam tempoh sebulan selepas berkahwin, ibu bapa bayi tersebut telah serahkan kepada pihak kedua untuk dijaga.
“Susulan itu polis telah menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang bertindak sebagai orang tengah, polis juga sedang mengesan rakan suspek itu, bagi membantu siasatan,” katanya.
Mohd Adli berkata kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana telah membuat laporan palsu dan Seksyen 317 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.
“Kelima-lima suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga esok. Permohonan melanjutkan tahanan reman akan dibuat bagi melengkapkan siasatan,” katanya. -Bernama