KOTA BHARU: Sebanyak lima rumah kedai di Kampung Beris Kubur Besar, Bachok, dekat sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok Ahmad Ridhuan Mohd Ghazali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada 6.58 pagi.

“Kebakaran itu melibatkan lima rumah kedai yang terletak sederet. Kita dapati kesemua premis itu telah terbakar 80 peratus dan kebakaran melibatkan keluasan 2,400 kaki persegi,“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kebakaran itu antaranya melibatkan kedai vape, kedai kimpalan besi dan kedai permainan kanak-kanak, dengan operasi pemadaman api melibatkan 19 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa dan BBP Kota Bharu.

Kebakaran itu, katanya tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan manakala punca dan anggaran kerugian sedang disiasat.