JOHOR BAHRU: Industri nanas negara berpotensi dikembangkan di Sarawak memandangkan kesesuaian tanah gambut dan mineral yang terdapat di negeri itu, kata Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Sheikh Umar Bagharib Ali.

Beliau berkata terdapat banyak faktor yang boleh menyumbang kepada kejayaan industri nanas di Sarawak yang memiliki sumber tanah lebih luas berbanding Semenanjung yang mana kira-kira 2.8 juta hektar tanah berpotensi telahpun dikenal pasti bagi tujuan pertanian.

“Sarawak memiliki hala tuju kepimpinan yang jelas dengan visi dan misi yang ingin dicapai dalam industri nanas, malah Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri telah mengumumkan sasaran pengembangan sehingga 20,000 hektar tanaman nanas di negeri itu, menjelang tahun 2030.

“Justeru, nanas boleh menjadi salah satu opsyen di sini, ditambah pula dengan kesesuaian kedua-dua tanah gambut dan mineral yang wujud di Sarawak, maka nanas boleh dikembangkan pada kadar yang segera, “ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Sheikh Umar Bagharib mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Kuching, Sarawak bermula Rabu lepas.

Antara program yang dihadirinya termasuk majlis perasmian Seminar Industri Nanas Sarawak 2023, lawatan ke ladang nanas Sungai Mata dan menghadiri beberapa mesyuarat berkaitan industri berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata LPNM di Sarawak turut memainkan peranan aktif sejak awal penubuhannya pada 2010.

Menurutnya, setakat ini, keluasan tanaman nanas di Sarawak adalah sebanyak 3,000 hektar yang menunjukkan purata kadar peningkatan sekitar 7.6 peratus setahun.

“Bagi mencapai sasaran 20,000 hektar menjelang 2030, purata kadar peningkatan bagi tanaman nanas di Sarawak hendaklah digandakan menjadi 14 peratus setahun, sehubungan itu, LPNM Sarawak akan terus fokus bagi merealisasikan hasrat ini,” katanya.

Selain itu katanya, Sarawak juga memiliki varieti baharu nanas iaitu Sarawak Gold 1 atau SG1, yang mempunyai ciri-ciri tersendiri termasuk masa tuaian lebih singkat serta kemampuan kepadatan tanaman yang tinggi, yang dilihat mampu melonjakkan industri nanas di negeri tersebut.

Justeru, satu kumpulan kerja teknikal akan diwujudkan dengan para pemegang taruh industri agar proses pengembangan nanas di Sarawak dapat diperincikan dan diambil tindakan sewajarnya, kata Sheikh Umar Bagharib. -Bernama