Your Title

KOTA BHARU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan akan membina jambatan panel keluli bermodular atau bailey bridge di KM 73.850 Jalan Kampung Sungai Sam-Jeli (FT 066) berhampiran Kampung Kubur Datu di Jeli yang terjejas akibat lubang benam semalam.

Pengarah JKR Kelantan Mohd Suhaili Ismail berkata keputusan itu dibuat hasil pemeriksaan di lokasi kejadian pagi tadi.

“Keputusan telah dibuat, JKR Kelantan akan menyelaras pemasangan bailey bridge di lokasi itu.

“Kerja-kerja penghantaran bahan jambatan dari JKR Machang akan dibuat esok. Seterusnya pemasangan akan bermula pada Jumaat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kerja-kerja pemasangan jambatan itu dijangka siap sepenuhnya pada Rabu dan melibatkan 30 kakitangan JKR dari Kelantan, Pahang serta Perak yang pakar dalam pemasangan bailey bridge.

“Jambatan ini hanya untuk laluan selorong dan kegunaan kenderaan ringan sahaja,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan laluan itu ditutup kepada semua kenderaan berikutan berlakunya lubang benam sepanjang 15 meter x 8 meter.

Susulan itu, JKR Kelantan menasihatkan pengguna jalan raya supaya menggunakan laluan alternatif Jalan Gua Musang–Kuala Krai–Kota Bharu (FT008). -Bernama