KUALA LUMPUR: Malaysia dan Korea Selatan harus bersama-sama memanfaatkan kekuatan dalam sektor perkilangan dan kemajuan teknologi, bagi meningkatkan dan menarik lebih banyak peluang pelaburan di antara kedua-dua negara.
Pengarah Eksekutif Advokasi Polisi Pelaburan (Perkilangan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Masni Muhammad (gambar) berkata Korea Selatan mempunyai kelebihan teknologi dari segi inovasi, penyelidikan dan pembangunan serta semikonduktor, elektronik, ekonomi digital dan teknologi maklumat.
“Sebaliknya, Malaysia pula memiliki kekuatan dalam sektor perkilangan dan kami adalah hab perkilangan di Asia Selatan, yang mana negara ini dikurniakan dengan kelapa sawit, minyak dan gas serta sumber-sumber mineral.
“Sebagai contoh, dengan Malaysia dikurniakan minyak sawit, Korea Selatan pula melihat kepada bio-boleh diperbaharui dan ini adalah antara bidang yang kita boleh manfaatkan di antara satu sama lain,” katanya pada Sidang Kemuncak Perniagaan Malaysia-Korea Dasar Pandang Ke Timur hari ini.
Selain itu, beliau berkata terdapat tema-tema berulang dalam dasar ekonomi Malaysia dan Korea Selatan, terutamanya dalam sektor ekonomi hijau, kemampanan dan ekonomi digital.
“Oleh itu, kedua-dua negara boleh bekerjasama dan meningkatkan pelaburan hijau secara global,” katanya.
Beliau berkata selain itu kedua-dua negara perlu menggunakan sepenuhnya atau mempertingkatkan perjanjian perdagangan bebas sedia ada, untuk bergerak ke hadapan.
“Saya fikir dengan pengukuhan rangka kerja kawal selia melalui perdagangan dua hala pasti akan dapat meningkatkan pelaburan serta kerjasama ekonomi kerana Korea Selatan telah menjadi antara lima penyumbang utama pelaburan di Malaysia,” katanya lagi.
Masni juga menambah Malaysia akan terus melibatkan diri dalam usaha pembangunan bakat dengan lebih 500 pelajar Malaysia berada di Korea Selatan untuk memastikan negara dapat membekalkan bakat yang diperlukan oleh pelabur-pelabur Korea Selatan di Malaysia.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Mastura Ahmad Mustafa menggesa syarikat-syarikat Korea Selatan untuk memanfaatkan peluang besar yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, bertujuan menggiatkan semula sektor perkilangan melalui pendekatan berasaskan misinya terhadap pembangunan perindustrian untuk faedah bersama.
Korea Selatan adalah salah satu sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) untuk Malaysia, yang mana sehingga Jun 2023, sejumlah 386 projek telah dilaksanakan dengan pelaburan berjumlah US$9.30 bilion (RM33.20 bilion), mewujudkan 46,580 peluang pekerjaan. -Bernama