the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, July 22, 2026
28.5 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Mayat anggota polis, korban terakhir tragedi bot karam di Kapit ditemukan

SIBU: Mayat Konstabel Iskandar Ibrahim, 28, anggota polis yang terkorban dalam tragedi bot karam berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh di Bahagian Kapit dekat sini ditemukan hari ini, sembilan hari selepas kejadian.

Iskandar merupakan mangsa terakhir ditemukan dalam tragedi yang turut meragut nyawa seorang lagi rakan setugasnya, Sarjan Jonathan Lambert dan dua orang awam yang menaiki bot malang berkenaan, yang karam ketika menempuh pusaran air di Sungai Batang Baleh kira-kira pukul 5 petang 7 Mac lepas.

“Mayat Iskandar yang masih lengkap berpakaian seragam polis ditemukan di kawasan Seputin, Sungai Batang Rajang kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian pada 11.30 pagi,” kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit Timoty Barat ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya seorang guru bersama beberapa penumpang lain menaiki perahu penumpang yang sedang dalam perjalanan balik dari SK Pelagus ke Kapit ternampak mayat terapung di permukaan sungai dan terus menghubungi pihak Bomba Kapit.

Sebaik menerima makluman tersebut, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bergegas ke lokasi yang dilaporkan dan mengesahkan mayat yang terapung itu adalah mayat mangsa terakhir tragedi bot karam berkenaan.

Timoty berkata mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan sepenuhnya oleh Ketua Polis Daerah Kapit.

Ketika kejadian kedua-dua anggota polis itu dilaporkan dalam perjalanan dari Kapit ke Nanga Tulie bagi mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram bersama bahan peledak untuk kegunaan kerja-kerja meletupkan batu bagi projek pembinaan jalan di kawasan Baleh.

Operasi SAR yang digerakkan sejurus mendapat laporan kejadian itu hanya berjaya menemukan tiga mangsa dua hari selepas kejadian itu, dengan mayat Jonathan ditemukan terapung berhampiran Terminal Bot Ekspres Kapit, manakala mayat dua orang awam, Jack Balan, 45, dan Amerson John Nain, 47, ditemukan hanyut lebih 160 km dari lokasi kejadian.

Seorang lagi orang awam, Moses Ngui, 47, yang turut berada di dalam bot itu semasa kejadian telah berjaya diselamatkan oleh orang ramai. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings