SEREMBAN: Kawasan perindustrian Bandar Enstek di Nilai, Negeri Sembilan, berjaya menarik pelaburan baharu bernilai RM420 juta menerusi penyertaan empat pelabur dalam pelbagai sektor.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pelabur berkenaan adalah Educ8 Group, Gobuilders Netsoft, Malindo Airways dan Meta Legends yang bakal menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan untuk masyarakat negeri itu.

“Kemasukan pelabur seperti Educ8 Group dapat menambah baik tahap sosio ekonomi dan pendidikan Bandar Enstek serta kawasan sekitarnya.

“Ini melalui kerjasama dengan akademi sukan dan pendidikan antarabangsa seperti The LALIGA Academy Malaysia dan Mouratoglou Academy,“ katanya.

Beliau berucap pada majlis menandatangani perjanjian jual beli antara TH Properties Sdn Bhd dan pelabur hartanah Bandar Enstek di sini, hari ini.

Aminuddin juga menyifatkan penglibatan TH Properties dalam menarik masuk pelaburan melalui Bandar Enstek dan Taman Perindustrian Bandar Teknologi Enstek (Techpark@Enstek) sebagai sumbangan besar terhadap pertumbuhan ekonomi negeri itu.

Techpark@Enstek berjaya menarik masuk beberapa pelaburan tempatan dan jenama dunia seperti Dutch Lady Milk Industries Berhad melalui projek DLMI@enstek dengan pelaburan hampir RM600 juta manakala Mahsuri Food (M) Sdn Bhd merangkumi pelaburan lebih RM250 juta.

Malah, beliau berkata Techpark@Enstek dengan status Halal Malaysia Industrial Park (HALMAS) menjadi hab pilihan bagi syarikat besar seperti Ajinomoto Malaysia Berhad, Farm Fresh Berhad, Coca- Cola Bottlers (Malaysia) Sdn Bhd Kellogg’s Malaysia serta pelabur lain yang beroperasi di taman perindustrian seluas 708.52 hektar.

“Kerajaan negeri terus menyokong dan memberi laluan kepada syarikat seperti TH Properties dalam mengembangkan aktiviti perniagaan melalui polisi laluan hijau, pengurangan bayaran premium tanah, pengurangan premium pertukaran status tanah, caj sumbangan modal (untuk infrastruktur dan utiliti) dan lain-lain lagi,“ katanya.

Sementara itu Pengerusi TH Properties Datuk Kartini Abdul Manaf berkata peranan Bandar Enstek di dalam pembangunan di daerah Labu dapat menjana pelbagai peluang niaga dan pekerjaan selain mendorong kerancakan ekosistem daerah serta kawasan sekitar.

“Pihak kami membangunkan Bandar Enstek dengan visi kelestarian sebuah bandar yang menggabungkan kemajuan dan kemampanan dalam komponen komersial, kediaman, pendidikan dan perindustrian,“ katanya.

Pada masa sama, TH Properties akan terus berusaha menyediakan kemudahan perbandaran berkualiti dan memastikan Bandar Enstek kekal berdaya huni dengan pertumbuhan ekonominya memberi impak tinggi kepada masyarakat setempat. -Bernama