SEREMBAN: Sebuah pelabuhan kontena pintar bercirikan kecerdasan buatan (AI) yang pertama seumpamanya Malaysia, akan dibina di Port Dickson dengan kos dianggarkan RM2 bilion.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata usaha terbabit akan turut memberi impak kepada ekonomi Malaysia dan negeri itu, terutama dijangka mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata kos pembinaan itu ditanggung sepenuhnya oleh Midports Holdings Sdn Bhd, anak syarikat milik Tanco Holdings Berhad dan merupakan rakan kerjasama Menteri Besar Negeri Sembilan-Pemerbadanan (MBINS) bagi projek tersebut.

Pelabuhan itu terletak di Pasir Panjang, Port Dickson dan mempunyai jeti sepanjang 1.8 kilometer serta terminal dan kawasan pengoperasian kontena seluas kira-kira 80.93 hektar (200 ekar) yang dilengkapi kemudahan mengangkat iaitu kren gantry yang beroperasi secara automatik.

“Kapasiti pelabuhan ini adalah untuk menerima kapal kontena daripada generasi pertama sehingga kepada ‘ultra max’. Ini merupakan pelabuhan sederhana kerana dari segi kapasiti tidak dapat bersaing dengan Pelabuhan Klang.

“Kawasan persisiran pantai tersebut mempunyai bentuk muka bumi semula jadi bersesuaian bagi pembinaan pelabuhan dengan kedalaman sehingga 20 meter dan jarak lebih kurang 1.85 kilometer dari pesisiran pantai,“ katanya.

Beliau berucap pada majlis pemeteraian perjanjian usaha sama antara MBINS dan Midports Holdings Sdn Bhd bagi pembangunan pelabuhan itu di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Pengarah Urusan Midports Holdings Sdn Bhd Datuk Seri Andrew Tan serta Pengarah Eksekutif Midports Holding Sdn Bhd Datuk Andy Chuah.

Aminuddin berkata kawasan pembinaan pelabuhan tersebut telah diwartakan sebagai Had Pelabuhan oleh kerajaan Persekutuan sejak 22 Ogos, 2017.

Beliau berkata pembinaan pelabuhan itu dapat merancakkan industri perkhidmatan logistik dan pengangkutan marin negara berikutan kedudukan strategik berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan jaringan jalan raya dan lebuh raya menghubungkan kawasan perindustrian sekitar Senawang, Nilai, Sepang (Selangor) dan Melaka.

“Port Dickson bukan hanya dikenali sebagai Bandar Tentera Darat sahaja, tetapi akan dikenali sebagai Bandar Pelabuhan Baharu dengan jaringan pengangkutan laut domestik dan antarabangsa,“ katanya.

Pada masa sama, katanya, urusan dagangan secara terus dengan Sumatera, Indonesia melalui Dumai juga boleh dilaksanakan dengan lebih cepat dari segi jarak dan masa.

Menyentuh penggunaan AI, Aminuddin berkata teknologi itu semestinya memberi impak optimum dalam keseluruhan rantaian perkhidmatan marin dan kargo seperti pendaftaran masuk dan keluar kapal, penjadualan pergerakan kapal serta pengesanan operasi marin di sekitar pelabuhan.

“Menerusi teknologi AI ini, segala operasi pelabuhan tidak lagi dilakukan secara manual dan akan meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kesilapan manusia selain kadar kemalangan ketika operasi,“ katanya.

Sistem itu juga, katanya, akan menganalisis data trafik, permintaan dan trend terkini untuk membantu melaksanakan keputusan strategik pada satu-satu masa. -Bernama