MOF disaran kecualikan SST ke atas 23 amalan Profesion Kesihatan Bersekutu

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Menteri Kewangan (MoF) disaran untuk mengkaji pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap 23 kategori amalan di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774).

Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin (PH-Rasah) berkata terapi fisio, psikologi dan terapi cara kerja adalah antara amalan di bawah akta berkenaan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya difahamkan pihak KKM telah meminta pengeculian daripada MoF, namun masih belum ada keputusan.

“Semua kategori ini merupakan amalan-amalan perubatan yang sangat diperlukan dalam keadaan persekitaran kehidupan kita ketika ini,“ katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Kesemua 23 kategori profesion kesihatan bersekutu merangkumi tiga kumpulan perkhidmatan iaitu klinikal, makmal dan kesihatan awam termasuk ahli Audiologi, ahli Dietetik, ahli Entomologi (Kesihatan Awam), ahli Fisioterapi, ahli Fizik Perubatan, ahli Pemakanan dan ahli Psikologi Klinikal.

Terdahulu, MoF mengecualikan tujuh kategori perubatan tradisional yang diletakkan di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 Akta 775 daripada SST.

Antara jenis perubatan tradisional yang dikecualikan daripada cukai tersebut ialah akupunktur, perubatan tradisional Melayu, homeopati, dan amalan pengubatan Islam. -Bernama