PASIR GUDANG: MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd (MSM Johor) telah mencapai kadar penggunaan balik modal sebanyak 40 peratus pada 2023 dan menyasarkan untuk mencapai faktor penggunaan (UF) sebanyak 50 peratus menjelang akhir tahun ini selepas kerja-kerja pembaikan dandang kedua selesai.

MSM Johor, iaitu anak syarikat MSM Malaysia Holdings Bhd, pada mulanya menyasarkan untuk mencapai kadar UF sebanyak 27 peratus pada 2023.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MSM Hasni Ahmad (gambar) berkata bagi mengurangkan risiko tambahan, MSM Johor sedang dalam fasa awal bagi memperoleh dandang ketiga untuk mengukuhkan lagi kemampanan operasinya.

“Terdapat ruang yang besar untuk mengembangkan eksport dengan lebih 5.0 juta tan setahun bagi pasaran di Asia Pasifik yang mana MSM Johor mempunyai kelebihan geostrategik dalam rantaian bekalan runcit dan industri,“ katanya kepada pemberita selepas lawatan tapak ke kilang penapisan di Tanjung Langsat, di sini hari ini.

MSM Johor pada masa ini mengeluarkan satu juta tan gula bertapis setahun, manakala kumpulan itu mengeluarkan sehingga 2.05 juta tan gula bertapis setiap tahun.

Kilang penapisannya di Prai, Pulau Pinang -- kilang penapisan gula terbesar di Malaysia -- menghasilkan 1.05 juta tan gula setiap tahun.​

Dengan kadar peleburan yang tidak terhad daripada semua mitigasi dan penambahbaikan selesai, Hasni berkata kumpulan itu optimis dengan masa depan MSM Johor.

Berdasarkan kepada dandang tunggal, MSM Johor telah merekodkan kadar peleburan harian tertinggi sebanyak 1,308 tan, dengan 43.6 peratus kadar UF pada November 2023, meningkat daripada 1,039 tan metrik pada 34.6 peratus kadar UF pada Oktober 2023.

Kilang penapisan Johor dijangka mencatat kadar peleburan harian sebanyak 1,416 tan, atau 47.2 peratus kadar UF, pada Disember 2023.​

“Matlamatnya adalah untuk menjadikan kadar peleburan tertinggi sebagai purata kadar peleburan sepanjang bulan dan ini memerlukan kilang penapisan boleh diharap dan dioptimumkan sepenuhnya,” katanya.

Mengenai gula putih premium yang dilancarkan baru-baru ini iaitu Gula Super, Hasni melihat ia sebagai penyumbang penting kepada keuntungan syarikat, dengan sasaran mencapai 5,000 hingga 6,000 unit sebulan.

“Gula Super ialah produk tambahan strategik kepada barisan produk kami, dengan margin keuntungan yang besar.

“Kami menjangkakan kesan positif terhadap hasil keseluruhan kami,“ katanya sambil menambah bahawa kumpulan itu merancang untuk mengeksport produk baharu itu ke Singapura, yang menyasarkan tawaran premium.

Mengenai cabaran termasuk kos input yang tinggi dan ketidaktentuan ekonomi, Hasni menekankan perlunya bantuan kerajaan dalam menguruskan harga gula.

“Kami memohon bantuan kerajaan dalam menguruskan cabaran seperti kos input yang tinggi dan dinamik harga. Kemampanan adalah teras kepada inisiatif kami,” katanya. -Bernama