SHAH ALAM: Kerja-kerja pembinaan yang tertangguh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan antara faktor pembinaan Muzium Setem di Seksyen 14, di sini mengalami kelewatan dari tarikh awal jangkaan siap.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Borhan Aman Shah (gambar) berkata setakat ini status kemajuan pembinaan muzium setem pertama Selangor itu berada pada tahap 65 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2026.

Mengakui berlaku kelewatan daripada jadual yang ditetapkan, beliau berkata walaupun kemajuan projek agak perlahan tetapi pembinaan muzium tersebut masih berjalan dan dipantau rapat pihaknya.

“Muzium ini dijadual siap tahun ini, namun kemajuan projek terganggu ketika PKP dilaksanakan berikutan kekurangan tenaga kerja di tapak pembinaan.

“Memang ada kelewatan tetapi projek ini masih berjalan dan di bawah pemantauan rapi pihak Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Borhan berkata selain faktor PKP, beberapa isu teknikal yang timbul turut menyumbang kepada kelewatan tersebut, namun kontraktor terlibat telah diberi peringatan dan amaran supaya menyiapkan segera pembinaan seperti ditetapkan.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata kerajaan negeri akan membuka tiga muzium baharu pada awal tahun ini bagi meneruskan usaha memelihara dan mendokumenkan sejarah, warisan dan budaya Selangor.

Tiga muzium tersebut ialah Galeri Seni Selangor dan Muzium Setem di Shah Alam serta Muzium Tekstil di Klang.

Dalam pada itu, Borhan ketika mengulas perkembangan proses baik pulih Muzium Sultan Alam Shah di Seksyen 14, berkata muzium berkenaan dijangka dibuka kembali kepada orang ramai paling awal Ogos ini.

Muzium Sultan Alam Shah ditutup sejak 2019 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf galeri dalam muzium itu iaitu Galeri Sejarah, Galeri Adat dan Kebudayaan serta Galeri Alam Semula Jadi. -Bernama