KUALA LUMPUR: Sejumlah 2,093 tapak lokasi sampah haram telah ditutup melibatkan anggaran kos pembersihan berjumlah RM1.6 juta pada 2023, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (gambar).

Beliau berkata operasi pembersihan dan penutupan tapak sampah haram yang dijalankan di tujuh negeri melalui Akta Pengurusan Sisa Pepejal 2007 (Akta 672) itu melibatkan pembersihan sejumlah 6,410 tan metrik sisa.

“Dalam tempoh setahun Kerajaan MADANI, kita telah bersihkan lebih 2,000 tapak sampah sebegini. Bayangkan betapa seriusnya perkara ini oleh kerana tiada kesedaran sivik, sikap tidak bertanggungjawab, malah ada juga kartel atau sindiket.

“Maka, kita terpaksa jalankan penguatkuasaan undang-undang secara besar-besaran. Setakat hari ini SWCorp (Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam) telah laksana 1,082 operasi membersihkan 2,093 tapak pelupusan,” katanya pada sidang media ketika operasi pembersihan dan penutupan tapak buang sampah haram di Jalan Davis di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 15 kes pendakwaan sampah haram berjaya disabit kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM168,000, sekali gus memberi amaran kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Sekiranya keadaan seperti ini masih berterusan KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) akan mempertimbang cadangan untuk pinda undang-undang supaya kadar denda akan dilipatgandakan dan bagi kesalahan berulang pula kita akan pertimbang hukuman penjara kepada mereka yang melakukan kesalahan itu,“ katanya.

Berhubung operasi di Jalan Davis hari ini, Nga berkata operasi pembersihan dan penutupan yang ke-2,093 di tapak seluas 18,000 kaki persegi itu melibatkan seramai 44 anggota daripada SWCorp, Alam Flora Sdn Bhd dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Beliau berkata kira-kira 700 hingga 1,000 tan sisa perindustrian dan sisa pembinaan telah dibersihkan dalam operasi di tapak itu yang sepatutnya digunakan untuk pembinaan sebuah masjid Cina Muslim.

“KPKT melalui SWCorp telah mengenal pasti ‘hotspot’ dan akan terus buat serbuan. Di tapak ini kita akan pakai kamera litar tertutup (CCTV) untuk kenal pasti pihak yang sengaja buang hingga 800 hingga 1,000 tan sampah dan sisa,” katanya.

Menurut Nga kerja-kerja pembersihan secara besar-besaran juga akan diteruskan bersempena sambutan Tahun Baharu Cina ini.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan aduan ke pihak SWCorp menerusi talian 1800-88-7472 sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melakukan kesalahan membabitkan pembuangan sampah atau mewujudkan tapak sampah haram.

Turut hadir Pengerusi SWCorp Hee Loy Sian, Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Dr Mohd Azhar Abd Hamid. -Bernama