RAUB: Kerajaan Pahang sedia mempertimbangkan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) supaya tiada yang tercicir.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata cadangan itu akan dikemukakan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) minggu depan.
“Perkara ini perlu dibincangkan, siapa yang perlu dipertanggungjawabkan kerana perkongsian data adalah perkara yang sangat sensitif dan sudah pasti kita tidak mahu data disalahgunakan,“ katanya kepada pemberita pada Sesi Penerangan Pendaftaran PADU di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Krau hari ini.
Beliau berkata pendekatan dan gerak kerja khusus diperlukan bagi memastikan mereka di kawasan pedalaman yang tiada capaian Internet atau penempatan Orang Asli, tidak tercicir daripada didaftarkan dengan Sistem PADU.
“Walaupun pendaftaran dibuka sehingga Mac, kita memikirkan Januari dan Februari sebagai waktu kritikal memandangkan Mac sudah masuk bulan puasa.
“Kita juga mempunyai masa pada Mac untuk mengejar kawasan tertentu (yang kurang pendaftaran),“ katanya dan menambah sebanyak 1.1 juta rakyat negeri itu disasarkan untuk membuat pendaftaran.
Justeru Fadzli menggesa rakyat Pahang supaya segera mendaftar dan mereka yang mempunyai kemusykilan atau mahu membuat pendaftaran boleh ke 111 PEDi di negeri itu bagi mendapatkan bantuan. -Bernama