KUALA LUMPUR: Pelbagai aktiviti dan perkhidmatan ditawarkan kementerian dan agensi kepada semua pengunjung sempena penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, mulai 8 hingga 10 Dis depan.
Pengarah Seksyen Perancangan Strategik, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri Syarina Kassim (gambar) berkata sempena program itu, pengunjung berpeluang mendapat perkhidmatan pemeriksaan dan rawatan gigi oleh Kementerian Kesihatan (KKM) secara percuma.
Beliau berkata pengunjung juga berpeluang menikmati khidmat saringan kanser reproduktif dan program subsidi mamogram Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk golongan wanita.
“Selain itu terdapat perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mereka yang ingin menukar MyKad serta perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan.
“Bagi mereka yang mencari kerja, terdapat karnival kerjaya dan setakat ini sebanyak 70 syarikat menyatakan kesediaan untuk terlibat dalam program yang bakal berlangsung,” katanya ketika ditemu bual di studio Bernama Radio di Wisma Bernama di sini hari ini.
Menurut Syarina bagi ibu bapa yang membawa anak-anak, terdapat reruai e-sukan dan bola sepak serta tayangan filem Malbatt: Misi Bakara, sepanjang program berlangsung.
Beliau berkata turut diadakan adalah pameran aset kerajaan melibatkan tiga agensi iaitu Kementerian Pertahanan, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
“Pengunjung juga berpeluang memberikan maklum balas, pandangan dan idea kepada agensi-agensi kerajaan berkaitan perkhidmatan, kemudahan yang disediakan menerusi segmen santai melibatkan pemimpin,” katanya.
Syarina berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka hadir pada majlis penutup program pada Ahad (10 Dis) akan turut mengadakan sesi dialog bersama pengunjung untuk memberi peluang kepada rakyat berinteraksi dengan beliau dalam suasana lebih santai.
Katanya selain jualan produk usahawan, turut diadakan ialah acara cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama berupa sebuah rumah dan hadiah lain termasuk motosikal, televisyen dan barangan kelengkapan rumah. -Bernama