Your Title

GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berharap operasi pembenihan awan yang dijadualkan hari ini dan esok dapat mencetuskan hujan sebanyak mungkin di kawasan tadahan air (KTA) Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K.Pathmananthan (gambar) berkata operasi itu diarahkan dan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Jabatan Perdana Menteri dan akan dikendalikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Beliau berkata PBAPP mengucapkan terima kasih kepada NADMA, TUDM, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan kerajaan negeri Pulau Pinang atas maklum balas pantas mereka terhadap permintaan pembenihan awan yang dibuat awal bulan ini.

“Menurut pemberitahuan rasmi daripada Badan Kawal Selia Bekalan Air Pulau Pinang (BKSA), penjadualan dan pelaksanaan operasi pembenihan awan adalah tertakluk kepada keadaan atmosfera dan awan.

‘’Dalam tempoh 1 Feb hingga hari ini, PBAPP hanya merekodkan 45 millimeter (mm) hujan di KTA Empangan Air Itam dan di KTA Empangan Teluk Bahang pula sebanyak 71.5 mm hujan, PBAPP berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kerana memulakan operasi pembenihan awan yang sangat diperlukan,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kapasiti efektif Empangan Air Itam terus mengalami penyusutan membimbangkan dengan bacaan merekodkan takungan pada kadar 33.7 peratus.

Pathmananthan berkata pada tahun lepas, operasi pembenihan awan yang dijalankan berturut-turut pada Mei dan Jun telah menyumbang kepada sejumlah 30.5 mm hujan di KTA Empangan Air Itam dan hujan itu membantu memastikan tiada krisis air di Air Itam pada 2023.

Pada masa ini katanya kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah rendah manakala kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang semakin berkurangan.

‘’Oleh itu, sebarang jumlah hujan akan berguna kerana kami berusaha untuk mempertahankan rizab air mentah empangan ini sehingga musim hujan akan datang,‘’ katanya.

Sementara itu, beliau berkata setakat hari ini, paras sungai Sungai Muda, di Kedah ialah 2.23 meter dan PBAPP sedang mengabstrak air mentah dari sungai tersebut untuk menyokong pengeluaran air optimum di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

‘’Sementara itu, kapasiti Empangan Muda dan Empangan Beris yang melepaskan air ke Sungai Muda dilaporkan masing-masing 63.2 peratus dan 100 peratus,“ katanya. -Bernama