SEPANG: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak mempunyai pengurusan sumber manusia sistematik adalah antara golongan yang didapati culas dan kurang kesedaran mengenai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pekerja mereka.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (gambar) berkata isu caruman Perkeso bagaimanapun tidak timbul dalam kalangan syarikat besar memandangkan pasukan sumber manusia mereka sedar akan tanggungjawab terhadap pekerja dari segi caruman wajib.

“Majikan besar bukan masalah besar, tetapi masalah utama ialah majikan kecil seperti peniaga makanan, peniaga runcit kerana mereka biasa uruskan sendiri banyak perkara berkaitan syarikat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan Operasi Pengesanan Majikan ke-14 (Op Kesan) di sekitar premis perniagaan di Kota Warisan, Sepang di sini hari ini.

Op Kesan ke-14 yang bermula 1 Julai lepas hingga 31 Julai merupakan tindakan penguatkuasaan daripada Perkeso untuk menjejak majikan yang masih belum berdaftar dan mencarumkan pekerja mereka di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Semua majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja (tanpa mengira jumlah gaji) perlu mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta 4 dan Akta 800.

Perkeso sebelum ini telah melaksanakan “bulan pemutihan” bermula 1 Mei hingga 30 Jun lepas bagi memberi lebih peluang dan ruang kepada majikan untuk mendaftarkan pekerja mereka secara sukarela sebelum menguatkuasakan Op Kesan.

Mohammed Azman berkata turut dikesan ialah majikan yang tidak sedar tanggungjawab mereka untuk mencarum bagi pekerja sambilan dan antara alasan yang diberikan ialah “tidak tahu” dan “tidak pasti” bahawa pekerja berkenaan harus mempunyai caruman Perkeso.

“Part time (pekerja sambilan) kena carum, selagi mereka diambil sebagai pekerja di premis atau dengan mana-mana majikan, mereka wajib didaftar dan dicarum. Kita ada jadual gaji bagaimana pengiraan dan pembayaran harus dibuat bagi pekerja part time ini,” katanya.

Mengenai Op Kesan ke-14 yang sedang dilaksanakan di Sepang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan sejak 1 Julai sehingga hari ini, beliau berkata sebanyak 1,994 premis majikan telah diperiksa dan 301 Notis Kompaun Akta 4 dan 87 Notis Kompaun Akta 800 telah dikeluarkan dengan jumlah keseluruhan kompaun bernilai RM413,900.

Menurutnya, kegagalan majikan untuk mendaftarkan perusahaan dan pekerja boleh dikenakan tindakan kompaun daripada RM500 hingga RM5,000 dan jika disabit kesalahan, boleh mengakibatkan pemilik perusahaan berkenaan dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali. -Bernama