BUKIT KAYU HITAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang membantu dalam rundingan berkaitan pembebasan tawanan rakyat negara mereka daripada konflik yang berlaku di Gaza, Palestin.

Anwar berkata penghargaan itu dizahirkan semasa pertemuan bersama sempena lawatan kerjanya sehari di Sadao, Thailand hari ini.

“Perdana Menteri Srettha mengucapkan terima kasih khas kepada kita kerana bantuan kita sedaya (upaya) untuk menyelamatkan tawanan orang Thailand yang di bawah penguasaan Hamas.

“Saya kata kita hanya cuba setakat kemampuan kita, tetapi kebijaksanaan Hamas dan Mesir yang memberikan laluan kepada mereka (untuk tawanan Thailand bebas),“ katanya pada sidang media di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam selepas lawatan kerja itu.

Terdahulu, memetik laporan media tempatan Thailand (Bangkok Post) melaporkan tiga lagi rakyat negara Thailand yang menjadi tawanan Hamas di Gaza telah dibebaskan yang sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan tawanan yang dibebaskan sebanyak 17 orang.

Sementara itu, menyentuh mengenai isu ketegangan di Selatan Thailand, Anwar berkata walaupun ia isu dalaman negara berkenaan, beliau berpandangan Malaysia bertanggungjawab untuk bekerjasama meredakan ketegangan itu.

Anwar berkata ia bagi menjamin keselamatan dan keselesaan hidup masyarakat di selatan Thailand untuk mereka mengamalkan cara hidup, agama dan budaya dengan tertakhluk kepada undang-undang Thailand.

“Saya lihat ada kesediaan Perdana Menteri Thailand untuk bersungguh-sungguh selesaikan (isu itu) dan kita hanya akan menjadi fasilitator untuk membantu usaha yang diketuai oleh mantan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli (Zainal Abidin), (dan usaha itu) akan diteruskan,“ katanya

Anwar mengadakan lawatan kerja sehari ke Sadao, Wilayah Songkhla dengan fokus untuk membincangkan isu berkaitan kerjasama dua hala Malaysia-Thailand dengan Srettha.

Lawatan atas jemputan Srettha itu antara lain bertujuan bagi melihat kemajuan projek jajaran jalan menghubungkan pusat pemeriksaan ICQS Bukit Kayu Hitam di Malaysia serta CIQ Sadao, Thailand.

Anwar yang diiringi beberapa menteri, timbalan menteri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan turut mengadakan pertemuan empat mata dengan Srettha sebelum kedua-dua pemimpin kemudian melawat tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao, yang merupakan projek dua hala yang sedang dilaksanakan Malaysia dan Thailand. -Bernama