KANGAR: Polis Daerah Kangar hari ini melupuskan barang kes ketum iaitu 8,264 kilogram daun ketum dan 5,113 liter cecair ketum bernilai RM175,090, untuk kes bagi tempoh tahun 2012 hingga tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata barang kes yang dilupuskan secara kaedah tanam timbus, setelah mendapat kebenaran daripada Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis itu, melibatkan 284 kertas siasatan yang telah selesai bicara dan dijatuhkan hukuman di mahkamah.

“Barang kes bagi kes yang telah selesai dan tempoh rayuannya telah tamat, maka ia akan dilupuskan bersandarkan arahan dari pihak mahkamah.

“Justeru, pada hari ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar di bawah Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, telah membuat pelupusan barang kes bagi kes-kes Akta Racun 1952 yang telah selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. -Bernama