PASIR MAS: Polis Kelantan menerima sebanyak 225 permohonan permit menjual bunga api dan mercun sempena Aidilfitri tahun ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun (gambar) berkata daripada jumlah itu, 25 permohonan telah diluluskan manakala bakinya sedang dalam proses penelitian dan akan selesai dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata polis masih mengekalkan syarat sama seperti sebelumnya iaitu hanya bunga api dan mercun tertentu sahaja dibenarkan untuk dijual dalam tempoh dua minggu sebelum raya.

“Kami menasihatkan jangan jual mercun yang kita tidak benarkan dan polis tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap peniaga ingkar,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Go To Safety Point di pekarangan stesen Petronas Chetok, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata orang awam tidak perlu lagi membeli mercun atau bunga api secara haram kerana polis telah menyediakan pembekal berlesen untuk urus niaga berkenaan.

“Berkemungkinan mercun dijual di luar tidak sama dengan mercun diluluskan polis tetapi ada sebab kita hadkan jenisnya termasuk risiko bahaya tertentu yang mungkin berlaku.

“Polis beri amaran awal-awal dan akan mengambil tindakan kepada mereka yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan mercun secara haram ini,“ katanya.

Muhamad Zaki turut menasihati peniaga mercun di negeri ini agar berwaspada menguruskan jualan bahan berkenaan memandangkan cuaca panas ketika ini mungkin boleh menyebabkan kejadian tidak diingini berlaku.

Menurutnya, pemantauan ibu bapa terhadap anak masing-masing juga amat dituntut agar tragedi buruk dapat dielakkan.

Terdahulu, program kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia dan stesen minyak Petronas itu bertujuan menyediakan lokasi selamat kepada orang awam mendapatkan bantuan awal dalam kejadian kemalangan, kecemasan dan jenayah dengan setakat ini membabitkan penyertaan 42 stesen minyak. -Bernama