KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur hari ini merasai pengalaman golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan dengan berjalan menutup mata sambil menggunakan tongkat di laluan pejalan kaki yang disediakan untuk golongan itu menjalankan aktiviti harian mereka di Brickfields di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata program dengan kerjasama Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia bersempena dengan Operasi Hormat Undang-Undang Polis Kuala Lumpur itu diadakan bertujuan mendidik masyarakat untuk menghormati kemudahan yang disediakan kerajaan kepada golongan OKU terutamanya OKU penglihatan.
Beliau berkata secara tidak langsung, program itu juga dapat mewujudkan kesedaran kepada masyarakat akan tanggungjawab sosial terhadap golongan berkenaan dengan tidak menghalang laluan atau kemudahan yang dikhaskan untuk kumpulan itu.
“Hari ni saya ajak semua untuk merasai kehidupan si buta dan betapa susahnya menjalani rutin harian sekiranya orang yang sempurna itu tidak menghormati orang yang tidak sempurna,“ katanya selepas menghadiri Program Santuni OKU Penglihatan bersama Ketua Polis Kuala Lumpur di hadapan bangunan YMCA, Jalan Tun Sambanthan 4 di sini.
Mohd Shuhaily berharap program sedemikian dapat diperluas ke peringkat sekolah agar generasi baharu dapat mengubah cara kehidupan mereka dalam menghormati golongan OKU mengharungi kehidupan yang berbeza berbanding individu normal.
Beliau berkata polis telah mengeluarkan lebih 1,000 saman sepanjang Op Hormat Undang-Undang Polis Kuala Lumpur pada 3 Julai hingga Isnin lepas melibatkan kesalahan kepada pemilik kenderaan yang menghalang lalu lintas dan laluan pejalan kaki serta meletak kenderaan secara haram.
Menurutnya, daripada jumlah kesalahan itu, saman tertinggi dikeluarkan ialah halangan lalu lintas sebanyak 1,061 saman diikuti larangan letak kenderaan (18) dan tiga kesalahan menghalang laluan bagi pejalan OKU.
“Apabila kita (polis) menjalankan operasi dan mengeluarkan saman itu, ia membuka minda masyarakat Kuala Lumpur bahawa dalam kesibukan kita mencari nafkah setiap hari, ada juga golongan kurang upaya yang turut mencari nafkah,“ katanya. -Bernama