KUALA LUMPUR: Pasukan Polis Marin (PPM) mengenal pasti beberapa modus operandi baharu yang digunakan oleh sindiket penyeludupan dalam membawa masuk barang-barang kontraban ke dalam negara.

Komander PPM DCP Mohd Yusoff Mamat berkata antara taktik yang digunakan termasuk menggunakan vessel asing sebelum memindahkan barangan seludup mereka ke kapal tempatan seperti bot nelayan dan bot tempat pertukaran barang untuk dibawa ke daratan.

“Vessel asing ini akan turun dan naik dari perairan Johor hingga ke Perak untuk tujuan berkenaan sehingga barangan seludup yang dibawa selesai dibawa ke daratan.

“Polis telah pun mengenal pasti sindiket-sindiket terlibat dan sedang mengumpul maklumat lanjut sebelum operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain dijalankan dalam masa terdekat,“ katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini, hari ini.

Menurutnya pasukan itu memandang serius pelanggaran undang-undang yang dilakukan di perairan negara dan berharap masyarakat setempat dapat berkerjasama serta membantu pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti menyalahi undang-undang ini.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata nilai rampasan yang direkodkan oleh PPM dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini meningkat kepada RM220.4 juta berbanding RM55.7 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya peningkatan nilai rampasan sebanyak 295 peratus itu disumbang oleh kekerapan pemeriksaan yang dijalankan oleh PPM terhadap vesel-vesel tempatan dan asing di perairan negara.

“Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja kita telah memeriksa 38,694 buah vessel tempatan dan asing berbanding 26,908 buah vessel pada tempoh sama tahun lepas, peningkatan sebanyak 44 peratus.

“Jumlah individu yang diperiksa juga bertambah kepada 157,467 orang berbanding 127,239 individu pada tempoh yang sama tahun lepas,“ katanya.

Mohd Yusoff berkata antara rampasan terbesar adalah melibatkan Akta Kastam 1967 sebanyak RM156.3 juta, Akta Dadah Berbahaya 1952 (RM18.8 juta) dan Akta Perikanan 1985 (RM13.44 juta). -Bernama