KOTA BHARU: Polis menahan seorang wanita berumur 28 tahun yang disyaki terlibat dalam kes bunuh seorang lelaki di Kuala Krai minggu lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun (gambar) berkata mayat lelaki itu ditemukan di hadapan sebuah tandas awam di Dataran Lemang Manek Urai, Kuala Krai, di sini, dua hari lalu.

Beliau berkata polis menerima laporan mengenai seorang lelaki terbaring tidak sedarkan diri di hadapan tandas berkenaan pada pukul 6.30 petang, dan pemeriksaan keatas badan lelaki berumur 45 tahun mendapati tiga kesan tikaman ditemukan di bahagian perutnya.

Dalam kenyataan di sini hari ini katanya berdasarkan siasatan, polis percaya lelaki itu ditikam di bahagian perut dengan menggunakan sebilah pisau oleh wanita berkenaan ketika mereka melakukan hubungan seks pada 28 Mac lepas.

Muhamad Zaki berkata susulan penemuan mayat, polis menahan wanita itu dan merampas sebilah pisau pemotong sayur di kawasan berhampiran.

Mayat lelaki itu telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk dibedah siasat dan doktor mengesahkan punca kematian adalah disebabkan luka di bahagian perut akibat tikaman.

Beliau berkata semakan mendapati lelaki itu merupakan suspek bagi kes kurungan salah terhadap seorang wanita dalam kes yang disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan, di samping mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.