KUALA LUMPUR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah menyalurkan RM2.6 bilion dana kepada usahawan pada tahun lepas, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan (gambar).

Beliau berkata penyaluran dana tersebut adalah inisiatif kerajaan dalam membantu golongan usahawan untuk memperbaiki taraf hidup mereka serta membasmi kemiskinan.

“Di Malaysia, kita ada banyak peluang untuk usahawan dan saya sangat bangga dengan apa yang diusahakan AIM dan berharap Perdana Menteri akan berikan lebih sokongan untuk AIM,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di ibu pejabat AIM hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM Datuk Seri Syed Hussian Syed Junid dan Pengarah Urusan AIM Mohamed Shamir Abdul Aziz.

Pada lawatan hari ini, Ramanan berkata beliau diberikan taklimat oleh pengurusan tertinggi AIM mengenai operasi dan pencapaian agensi berkenaan.

Sementara itu, Mohamed Shamir berkata AIM menyasarkan penyertaan 340,000 sahabat usahawan AIM tahun ini, berbanding 320,000 orang pada 2023.

“Tahun lepas kita keluarkan RM2.6 bilion, dan tahun ini ada sedikit peningkatan iaitu RM100 juta berdasarkan pengumuman Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024 menjadikan keseluruhan dana untuk tahun ni RM2.61 bilion,” katanya.

Ramanan turut menyertai program Himpunan Madani Bersama Sahabat Usahawan India AIM yang diadakan di pekarangan ibu pejabat AIM bagi meraikan golongan usahawan di Lembah Klang dan Selangor pada lawatan kerja itu. -Bernama