the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, July 22, 2026
28.5 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Rayuan akhir Peter Anthony terhadap sabitan dan hukuman didengar pada 18 Julai ini

PUTRAJAYA: Rayuan akhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony (gambar) untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda kerana memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan didengar pada 18 Julai ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi Bernama selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron hari ini.

Peguam Emile Ezra Md Hussain, yang mewakili Peter, 53, mengesahkan perkara itu.

Pada 19 April 2023, Peter memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.

Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu sebelum ini gagal di peringkat Mahkamah Tinggi yang menolak rayuannya pada 18 April tahun lepas dan ini merupakan rayuan terakhir beliau.

Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat itu telah membayar denda RM50,000. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Lebanon and Israel set for next talks in Italy

Lebanon and Israel will hold their next US-brokered talks in Italy on August 4 as both sides begin implementing a plan for Israeli withdrawals and Lebanese army deployments.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings