KUALA LUMPUR: Sunway Pyramid, Sunway Velocity Mall dan Mattel bekerjasama menyediakan Autsome Starter Kits untuk Early Autism Project (EAP) iaitu satu inisiatif bertujuan menyokong komuniti autisme.

Sunway Pyramid dalam kenyataan hari ini menyifatkan perkongsian itu mencerminkan peningkatan kesedaran dan usaha mewujudkan persekitaran lebih inklusif untuk individu autisme dengan menyediakan sumber serta alatan yang direka khusus bagi memenuhi keperluan unik mereka.

“Kit ini terdiri daripada koleksi beberapa barangan dan sumber yang dipilih dengan teliti bagi menangani pelbagai aspek perkembangan dan cabaran harian untuk individu yang menghidap autisme.

“Melalui inisiatif seperti ini, perkongsian itu bertujuan membawa perubahan ketara dalam kehidupan individu autisme selain membantu mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan memahami,” menurut kenyataan itu.

Kit itu antara lain mengandungi alat rangsangan deria yang boleh memberikan kesan ketenangan atau membantu mereka lebih fokus dan interaksi sosial untuk menggalakkan penglibatan sosial serta komunikasi, bagi menyokong perkembangan kemahiran.

Kit berkenaan juga mengandungi sumber perkembangan kognitif untuk membantu meningkatkan kemahiran kognitif, memupuk pembelajaran dan pertumbuhan intelektual dengan cara yang menghormati corak pembelajaran dan gaya individu autistik.

Majlis penyerahan kit berkenaan berlangsung semalam dan dihadiri oleh Pengarah EAP Malaysia Jochebed Isaacs, Ketua Pemasaran SEA of Mattel Inc Christine Chan, Pengarah Bersekutu Pemasaran Sunway Pyramid Amy Hoo dan Pengurus Pemasaran Sunway Velocity Mall (perkongsian dan projek khas) Leon Tan.

Menurut kenyataan itu, kerjasama antara Sunway Malls dengan Sunway Pyramid dan Sunway Velocity Mall, Mattel dan EAP Malaysia merupakan contoh bagaimana entiti korporat dan organisasi bukan untung boleh saling bekerjasama untuk menyokong usaha murni.

Sunway Malls yang turut memainkan peranan dengan menganjurkan majlis berkenaan, sekali gus menunjukkan komitmen mereka terhadap tanggungjawab sosial korporat di samping memanfaatkan kemudahan untuk membantu komuniti autisme.

“Sebagai pengeluar mainan terkemuka, penglibatan Mattel membantu memastikan Autsome Starter Kits bukan sekadar dapat digunakan malah mampu menarik minat dan memberi keseronokan kepada penerima,“ menurut kenyataan itu.

Kepakaran Mattel dalam mencipta dan membangunkan mainan pendidikan turut memberi sumbangan besar dalam keberkesanan kit berkenaan.

EAP Malaysia sebagai organisasi penerima, menggunakan kepakaran mereka dalam memainkan peranan penting mengedarkan kit ini kepada individu dan keluarga yang memerlukan bagi memastikan ia dapat digunakan dengan berkesan.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image