KUALA LUMPUR: Wakil Thailand Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran memulakan kempen musim 2024 dengan gemilang apabila melakar kejutan pada pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena, hari ini.
Beregu campuran meningkat naik yang menghuni ranking ke-20, meraih kejayaan bermakna apabila menewaskan pasangan keempat terbaik dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 22-20, 21-19.
Ini merupakan kemenangan pertama ke atas pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022, selepas tewas dalam kesemua lima pertemuan sebelumnya.
Gandingan Thailand itu akan berdepan wakil Singapura, Terry Hee-Jessica Tan yang mengetepikan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin dari Taiwan 15-21, 21-19, 21-12.
“Kami sangat gembira dapat menang perlawanan hari ini kerana pelan yang dibuat menjadi. Kita tidak meletakkan tekanan untuk menang tapi mahu ikut perancangan dibuat bersama.
“Sasaran kita tahun ini adalah untuk menang pingat di Olimpik Paris, dan di Terbuka Malaysia kali ini untuk mara ke separuh akhir. Saya harap kita dapat teruskan momentum kemenangan berdepan pemain di ranking lebih tinggi. Kita masih ada peluang untuk layak, kita tidak mahu putus asa,” kata Supissara selepas perlawanan.
Supak, 27 dan Supissara, 24, yang kini menghuni tempat ke-17 dalam ranking kelayakan ke Olimpik, perlu bekerja keras menewaskan pasangan terkuat sehingga tamat tempoh kelayakan pada 28 April depan.
Memandangkan satu lagi gandingan Thailand Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai menghuni kedudukan kelima, Supak-Supissara perlu berada dalam kelompok kelapan terbaik untuk mendapatkan slot kedua ke Sukan Olimpik.
Sementara itu, Yan Zhe-Dong Ping berkata gandingan Thailand bermain dalam tempo pantas, manakala keadaan angin pula lebih kuat berbanding ketika sesi latihan semalam.
Dalam acara beregu lelaki, juara edisi 2022 Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun menyingkirkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo dari Taiwan Lee Yang-Wang Chi Lin 21-16, 21-15.
Juara dunia 2021 itu akan berdepan wakil Scotland Alexander Dunn-Adam Hall yang menewaskan gandingan adik-beradik dari Perancis Christo Popov-Toma Junior Popov 24-22, 17-21, 21-17.
Perseorangan wanita pula menyaksikan juara bertahan Akane Yamaguchi dari Jepun bermula dengan baik menewaskan pemain Thailand, Supanida Katethong 21-15, 22-20 manakala An Se Young dari Korea Selatan mengecewakan Line Hojmark Kjaersfeldt dari Denmark 21-16, 21-10. -Bernama
Gambar fail: Supak Jomkoh (kiri) dan Supissara Paewsampran/BERNAMAPix