SAYA berterima kasih kepada mereka yang memberi sokongan kuat terhadap satu ide yang saya lontarkan melalui ruangan ini baru-baru ini berhubung sumbangan RM10 sebulan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan oleh 1.6 juta penjawat awam bagi meringankan keperitan hidup yang sedang dialami oleh rakyat Malaysia akibat pandemik Covid-19.

Khususnya kepada mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam yang menyifatkan cadangan itu sebagai “amat mudah dilaksanakan”.

Beliau memberitahu saya melalui WhatsApp bahawa sumbangan RM10 sebulan itu boleh dipotong daripada sesetengah elaun yang dinikmati penjawat awam.

“ Mereka menerima beberapa elaun yang tidak dikira untuk tujuan pencen dan ini lebih sesuai berbanding potongan daripada gaji pokok yang mempunyai implikasi kiraan untuk pencen,“ katanya.

Ismail berkata beliau agak terperanjat tiada pemimpin perkhidmatan awam mengambil inisiatif sedemikian setakat ini walaupun pandemik Covid-19 sudah berlarutan selama setahun.

Sekali imbas, Tabung RM10 yang saya lontarkan ini nampak seperti “kacang putih” sahaja tetapi jika ia digarapkan dengan 1.6 juta kakitangan awam untuk tempoh tiga bulan, sejumlah RM48 juta boleh dikutip.

Bukan itu sahaja, kaedah kutipan untuk tabung ini begitu mudah dilaksanakan tanpa membebankan walau penjawat awam dalam kategori yang paling rendah sekali pun.

Prof Emeritus Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata sumbangan ikhlas RM10 sebulan untuk tabung ini akan memberi gambaran yang hebat mengenai penjawat awam yang merupakan golongan yang paling stabil kedudukan kewangan mereka kerana dibayar gaji tetap oleh Kerajaan.

Beliau malah menyarankan usaha ini boleh diteruskan sepanjang tempoh negara dilanda pandemik ini sungguhpun Kerajaan telah menubuhkan Tabung Khas Covid-19.

Dalam lain perkataan, lebih banyak tabung adalah lebih baik kerana bilangan rakyat Malaysia yang memerlukan bertambah setiap hari dengan semakin ramai yang terpaksa dibuang kerja oleh majikan di sektor swasta yang perniagaan mereka terjejas teruk oleh pandemik ini.

Dan pandemik ini pun masih tiada nampak akan berakhir dalam masa terdekat sehingga proses pelalian vaksin bagi mencegah penularan virus Covid-19 selesai dijalankan.

Penderitaan yang dirasai oleh mereka yang kehilangan mata pencarian turut dialami oleh ribuan yang lain yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji atau bekerja dengan potongan gaji.

Sokongan terhadap Tabung RM10 ini juga datang daripada Datuk Seri Akhbar Satar, presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Malaysia yang juga merupakan aktivis anti-rasuah terkemuka.

Beliau berkata adalah amat bertepatan masanya bagi penjawat awam untuk mempamerkan solidariti mereka bersama golongan yang kehilangan punca pendapatan dalam tempoh yang getir ini dengan membantu rakyat yang amat memerlukan apa juga pertolongan bagi meringankan beban kewangan masing-masing.

Walau bagaimanapun, terdapat juga cadangan daripada sesetengah pihak bahawa Tabung RM10 turut merangumi golongan seperti para Menteri dan Wakil Rakyat di peringat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Pada saya, saranan sedemikian tidak kena pada tempatnya atau terkeluar daripada rasional asal Tabung RM10 berkenaan yang hanya membabitkan penjawat awam.

Kenapa saya kata begitu? Cuba kita ambil kira saiz kakitangan awam yang berjumlah 1.6 juta dan mungkin angkanya sudah meningkat sekarang. Dengan hanya menyumbang 30 sen lebih sehari, sebanyak RM16 juta dapat diraih dalam hanya tempoh sebulan.

Dan dalam tempoh tiga bulan sahaja, jumlah dana akan dapat pergi begitu jauh sekali dalam membantu mereka yang sukar menyedia makanan seharian dan juga golongan yang berkeliaran tanpa kemudahan perumahan termasuk yang tidak mampu membayar sewa rumah masing-masing.

Saya tahu cawangan Jabatan Kebajikan Masyarakat di seluruh negara berfungsi seperti biasa membantu mereka yang daif ini tetapi dengan adanya Tabung yang dicadangkan ini, lebih ramai lagi bakal menjadi penerima bantuan.

Setakat ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohammad Zuki Ali belum lagi memberi sebarang kenyataan atau reaksi terhadap cadangan Tabung RM10 ini walaupun saya tahu pihak media telah cuba untuk menghubunginya.

Beliau juga tidak memberi sebarang respon terhadap ruangan yang saya tulis dua minggu lepas yang saya panjangkan kepadanya pada hari yang sama.

Saya difahamkan cadangan penubuhan tabung itu memerlukan perbincangan selanjutnya di kalangan semua pemegang kepentingan sebelum sesuatu keputusan dapat dicapai.

Sebagai seorang yang pernah berada dalam perkhidmatan Kerajaan selama berdekad, saya amat memahami akan lapisan birokrasi yang apa jua cadangan perlu lalui sebelum ianya menampakkan cahaya di hujung terowong.

Apa yang dilihat oleh orang ramai sebagai sesuatu yang mudah dilaksanakan, seperti kata Tan Sri Ismail Adam, kebiasaannya akan berada dalam fail atau dulang yang dilabel KIV (Untuk Perhatian) untuk sesuatu tempoh yang berpanjangan.

Saya hanya boleh menyuarakan harapan agar Tabung RM10 ini tidak menemui nasib yang sama.

Ada perpatah yang berbunyi - Hendak seribu daya, jika tak hendak seribu dalih.

Saya juga berharap agar Kongres Kesatuan-kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam atau CUEPACS akan memberi sokongan padu supaya Tabung ini dapat dilancarkan secepat mungkin.

Ayuh, mari semua pemegang kepentingan bersatu padu melaksanakannya!