SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan mendapati tiada kenaikan harga sayur secara mendadak di negeri ini.

Pengarahnya Ain Arjuna Aziz Zaman berkata berdasarkan pemantauan dijalankan oleh Seksyen Penguat kuasa dan Pegawai Pemantau Harga, tiada kenaikan harga mendadak yang direkodkan bagi sayur-sayuran seperti kobis bunga, sawi pendek (choy sum), brokoli, sawi, kacang buncis, kubis, cili merah dan cili hijau dalam tempoh sebulan ini.

Katanya kenaikan yang direkodkan adalah secara berperingkat, yang dipengaruhi beberapa faktor seperti kos pengangkutan, keadaan cuaca dan ketidakseimbangan permintaan dalam pasaran.

“Sepanjang pemantauan yang dilakukan di pasar awam seluruh negeri ini pada 23 Nov sehingga hari ini, mendapati harga sayur ini mengalami kenaikan dan penurunan harga setiap hari,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.

Beliau berkata bekalan sayur-sayuran di negeri ini mencukupi dan tidak terganggu serta pihaknya akan terus menjalankan pemantauan pada setiap peringkat, bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan pada harga yang berpatutan.

Katanya pengguna boleh mendapatkan maklumat perbandingan harga barangan keperluan dengan memuat turun aplikasi mudah alih ‘Price Catcher’.

-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image