KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM30 juta pada tahun lepas bagi kerja pembaikan dan menaik taraf Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Wisma Pegawai, Wisma Bintara dan Wisma Laskar di pangkalan TLDM di seluruh negara.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob (gambar) berkata antara kerja pembaikan dan menaik taraf yang berjaya dijalankan pada tahun lepas ialah kerja naik taraf RKAT dan Sekolah Kebangsaan di Pangkalan TLDM Lumut.

Katanya kerja pembaikan dan menaik taraf kemudahan turut dijalankan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Pangkalan TLDM Kuantan dan Pangkalan TLDM Sandakan, selain pembaikan secara menyeluruh Menara Sri Pulai dan Pangkalan TLDM Tanjung Pengelih.

“Pada tahun lepas juga Kerajaan Sarawak pada 26 Dis lepas telah memberikan kelulusan bagi pembangunan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) bertempat di Samalaju, Bintulu dan kini dalam proses akhir perolehan tanah dan pembinaan dijangka bermula pada tahun ini.

“MAWILLA 4 ini adalah sangat penting bagi mempertahankan kedaulatan negara daripada insiden pencerobohan asing dan melindungi kepentingan sumber negara terutama sekali di Laut China Selatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Tahun Baharu dan Setahun Pemerintahannya sebagai Panglima Tentera Laut di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain dan Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional Laksamana Madya Datuk Sabri Zali.

Dalam ucapannya juga Abdul Rahman berkata Kementerian Kewangan telah meluluskan permohonan perolehan tiga Littoral Mission Ship Batch Kedua (LMSB2) yang berkeupayaan kombatan untuk TLDM.

Katanya rundingan teknikal spesifikasi dan klausa kontrak akan diadakan dengan firma terpilih sebaik sahaja surat niat dikeluarkan dan TLDM menyasarkan untuk menyelesaikan semua keperluan dokumen kontrak perolehan itu sebelum pertengahan tahun.

Menurut Abdul Rahman, TLDM juga akan terus memacu usaha untuk meningkatkan keupayaan dan memperkasakan armadanya dengan perolehan aset baharu seperti kapal Multi Role Support Ship (MRSS).

“Keperluan ini amat penting terutamanya dalam memastikan keperluan operasi logistik TLDM dan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di dalam negara mahupun negara serantau dapat dilaksanakan dengan berkesan. Saya yakin dan percaya, melalui perolehan aset baharu tersebut, TLDM semestinya mampu melaksanakan operasi dengan lebih efisien dan efektif,” katanya.

Dalam pada itu Abdul Rahman turut menyeru anggota dan pegawai TLDM untuk terus memberikan sokongan dan kerjasama yang jitu demi memastikan visi untuk menjadi sebuah angkatan laut yang cemerlang dapat dicapai. -Bernama