GUA MUSANG: Sebahagian penduduk di Kampung Sungai Bayu Dalam di sini masih tidak dapat menikmati bekalan elektrik berikutan status pemilikan tanah dan tapak rumah didiami mereka sejak 14 tahun lepas.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan memaklumkan berdasarkan lawatan ke lokasi berkenaan dan mendapat rujukan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), mereka mendapati status tanah dan tapak rumah penduduk masih milik kerajaan.

“Syarat dan prosedur untuk memohon bekalan elektrik ialah perlu mendapat kebenaran daripada PBT terlebih dahulu, selain syarat izin lalu tiang elektrik ke premis pengguna.

“Untuk makluman, tiang sedia ada (asal) ialah tiang bekalan elektrik kepada penduduk Kampung Sungai Bayu Dalam yang telah mendapat bekalan dan memenuhi syarat permohonan,“ menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu menjelaskan bagi penduduk yang membuat aduan tidak mendapat bekalan pula, semakan mendapati TNB tidak menerima sebarang permohonan bekalan elektrik daripada penduduk atau permohonan melalui Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).

Mengulas lanjut, TNB memberitahu pihaknya akan mengadakan sesi perbincangan bersama PBT bagi membantu menyelesaikan isu terbabit dalam masa terdekat terutama berkaitan status pemilikan tanah.

“Setelah status pemilikan tanah dan syarat izin lalu diselesaikan, pengadu boleh memohon bekalan elektrik melalui kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga,” menurut TNB.

Pada 19 Jan lepas, Bernama melaporkan lapan keluarga di Kampung Sungai Bayu Dalam dilaporkan masih bergantung kepada tenaga solar dan generator sebagai sumber bekalan elektrik untuk aktiviti harian mereka sejak 14 tahun lepas. -Bernama