KUALA TERENGGANU: Lapan bot pelancong di negeri ini diarah berpatah balik oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu kerana didapati membawa penumpang melebihi muatan yang dibenarkan.

Pengarahnya Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kesalahan tersebut dikesan hasil 95 pemeriksaan menerusi Operasi Anai-Anai Laut di perairan Besut, perairan Merang di Setiu dan pulau-pulau sekitar selama lima hari bermula Ahad (4 Sept).

“Selain diarahkan berpatah balik ke pangkalan dan menurunkan penumpang mengikut jumlah yang dibenarkan, pengusaha bot terbabit turut diberikan amaran keras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya kebanyakan pengusaha bot yang menawarkan pakej harian dari Kuala Besut di Besut, Pantai Penarik dan Merang di Setiu itu telah mengambil kesempatan pada cuti persekolahan ini memandangkan menerima permintaan tinggi, sehingga sanggup mengabaikan aspek keselamatan penumpang.

“Sikap ingin mengaut keuntungan sehingga sanggup membawa muatan penumpang yang berlebihan boleh menyebabkan insiden,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Suffi berkata Operasi Anai-anai Laut dilancarkan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dengan meningkatkan kesiapsiagaan aset-aset, keanggotaan serta penguatkuasaan terutamanya di kawasan pelancongan seperti pantai dan pulau peranginan di sekitar Terengganu.

Katanya operasi tersebut akan dilaksanakan setiap tahun bermula tahun ini berikutan cabaran dan insiden yang menunjukkan pertambahan.

“Umumnya kejadian Carilamat (operasi Mencari dan Menyelamat) menunjukkan peningkatan di Terengganu dengan 17 kes dari awal tahun 2022 sehingga kini, berbanding 10 kes pada tahun lepas (dalam tempoh yang sama) di Perairan Terengganu. Amat membimbangkan jumlah kehilangan nyawa dan harta benda turut mencatatkan peningkatan angka,” katanya.-Bernama