• 2025-07-24 01:27 PM

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang berjaya menahan empat lelaki dan merampas 112.1 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM3.72 juta dalam dua serbuan berasingan di Bukit Mertajam. Operasi itu dijalankan bermula 10 pagi Selasa hingga 3 pagi Rabu.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, antara yang ditahan termasuk seorang warga Vietnam berusia 31 hingga 39 tahun. “Dalam serbuan pertama, polis menahan dua lelaki di sebuah bilik hotel dan seorang lagi di lobi hotel yang berperanan sebagai ‘penghantar’. Pemeriksaan menemui 9,232 gram (g) ganja serta 4,238g bunga ganja di dalam beg kanvas,“ katanya.

Siasatan kemudian membawa kepada penahanan lelaki Vietnam di Seberang Jaya, seterusnya menemui sebuah inap desa yang dijadikan stor penyimpanan dadah. “Pemeriksaan di rumah itu menemukan 105 bungkusan bunga ganja seberat 97.7kg. Sindiket ini menyewa inap desa jenis kondominium sejak minggu lepas,“ jelas Mohd Alwi.

Beliau menambah, sindiket itu dipercayai mendapat bekalan dadah daripada rangkaian antarabangsa di negara jiran sebelum diseludup masuk melalui jalan darat untuk diedarkan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. “Mereka aktif sejak Mac lepas, dan polis sedang mengesan dalang utama. Dadah yang dirampas boleh digunakan oleh kira-kira 230,000 penagih,“ katanya.

Polis turut merampas wang tunai RM1,300 dan tiga kenderaan termasuk Toyota Alphard, Honda City, serta motosikal Yamaha Y16ZR bernilai RM199,300. Tiga lelaki tempatan yang ditahan didapati positif dadah dan mempunyai rekod jenayah terdahulu. Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 29 Julai di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama