• 2025-07-25 10:18 AM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini menerima kunjungan hormat Duta Khas Presiden Republik Korea Kim Young Choon dan Duta Besar Romania ke Malaysia Nineta Barbulescu di Bilik Kunjungan Hormat di Parlimen.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi air berkata pada pertemuan itu, Kim menyatakan komitmen tinggi kerajaan baharu Korea Selatan dalam memajukan pembangunan tenaga hijau dan usaha pengurangan karbon secara menyeluruh.

“Kami turut bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama antara ASEAN dan Republik Korea, khususnya dalam kerangka Grid Tenaga ASEAN yang lebih mampan dan bersepadu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Fadillah, Kim turut memaklumkan kesediaan Korea Selatan untuk menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga (EMM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dijadual berlangsung Ogos ini.

Sebagai rakan dagang kelapan terbesar Malaysia, Fadillah berkata beliau berharap kerjasama dengan Korea Selatan dalam bidang peralihan tenaga dan transformasi sektor air dapat terus dipertingkat demi pembangunan yang lestari bersama.

Menyentuh mengenai pertemuan beliau dengan Nineta, Fadillah memuji usaha gigih Romania dalam memajukan sektor tenaga hijau.

“Meskipun Romania merupakan sebuah negara dengan populasi sekitar 19 juta penduduk, usaha gigih negara tersebut dalam memajukan sektor tenaga hijau wajar diberikan pujian dan pengiktirafan,” katanya.

Beliau berkata menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta komitmen terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2050, Malaysia bersedia menjalin kerjasama lebih erat dengan rakan dagang strategik termasuk dari Eropah Timur dalam memperkasa sektor tenaga hijau ke arah pembangunan yang inklusif dan mampan- BERNAMA