GUA MUSANG: Keinginan merubah kehidupan anak bangsa membuatkan dua figura Orang Asli suku kaum Temiar menggalas tanggungjawab sebagai guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di tempat tinggal mereka.
Robiah Rami, 42, yang berpengalaman mengajar kanak-kanak Orang Asli Tabika KEMAS Pos Hendrop sejak 17 tahun lepas berkata beliau tekad mencurahkan bakti kepada masyarakat penempatan tersebut untuk mengangkat taraf hidup anak bangsanya yang sering dikatakan ketinggalan dalam arus pendidikan perdana.
Robiah atau mesra disapa Kak Bie berkata tiada lebih membanggakan apabila melihat anak didiknya dapat menguasai tiga asas pendidikan iaitu membaca, menulis dan mengira seawal usia empat tahun.
“Kepuasan yang dikecapi apabila murid dapat menguasai segala yang dipelajari tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Saya amat berbangga dengan semua pencapaian mereka tidak kira sedikit atau banyak.
“Sepanjang bertugas saya dapat melihat perubahan anak murid yang meningkat dewasa dan ada berjaya melanjutkan pelajaran di institusi atau universiti awam,” katanya ketika ditemui di program Hari Aspresiasi dan Amanat Ketua Pengarah Bersama Kakitangan Kemas daerah Gua Musang, di Dewan KPTM-Kesedar di Taman Etnobotani, di sini semalam.
Bagi Sarudin Johari, 30, yang mengajar di Tabika KEMAS Kampung Menrod, Pos Brooke, pula, menjadi satu-satunya pendidik lelaki dalam kalangan guru wanita dan kanak-kanak ini adalah suatu usaha untuk merubah stigma masyarakat mereka yang beranggapan kaum lelaki sepatutnya bekerja di kawasan hutan.
“Walaupun pada awal penglibatan dalam bidang ini sering dikatakan saya melawan arus menjadi guru tabika, tetapi saya tetap berazam untuk memberikan pendidikan awal kepada anak-anak Orang Asli di sini,” katanya.
Memasuki tahun ke lapan dalam perkhidmatan, Sarudin berkata murid lebih mudah menerima ilmu diajar dalam bahasa ibunda mereka yang juga digunakan sebagai bahasa pengantaraan ketika sesi pembelajaran dijalankan.
“Selain kaedah belajar sambil bermain, antara tarikan anak-anak untuk hadir ke sekolah adalah kerana bahasa yang digunakan juga, kerana di awal usia ini normal bagi anak-anak berasa takut untuk berpisah daripada ibu bapa.
Menurut Sarudin, dia bersyukur melihat tabika di tempat tinggalnya semakin dipenuhi kehadiran anak-anak berusia empat hingga enam tahun di kampung berkenaan pada hari persekolahan, berbanding waktu beliau mula-mula berkhidmat dahulu. -Bernama