KUANTAN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) amat menggalakkan semua pihak menjalankan aktiviti sukan dari peringkat keluarga dan komuniti sebagai gaya hidup masa kini berbanding hanya tertumpu kepada sukan pertandingan yang bersifat kompetitif.

Timbalan Menterinya Senator Datuk Seri Ti Lian Ker berkata ini kerana aktiviti itu dapat disertai pelbagai peringkat umur, tidak memerlukan kos yang besar dan mampu mengeratkan hubungan dalam kalangan keluarga serta masyarakat.

“KBS menghalakan fokus kepada menggalakkan budaya sukan untuk semua kerana ia memberi banyak manfaat kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara.

“Apabila aktif bersukan, seseorang individu kurang berisiko mendapat penyakit dan ini dapat mengurangkan beban kerajaan menanggung kos penjagaan kesihatan yang tinggi,“ katanya kepada Bernama pada Program Fit & Active Family 2022 Peringkat Negeri Pahang di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Galing di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Beserah Andansura Rabu dan Komander Briged Tenggara PGA SAC Datuk Hasan Basri Ahmad Safar.

Ti berkata sukan secara berkeluarga juga dapat dijadikan platform mencungkil bakat baharu bagi sukan kompetitif apabila sukan tertentu sudah menjadi gaya hidup dan budaya.

Beliau juga berharap pihak swasta dapat memberi sokongan kepada penganjuran sukan daripada peringkat komuniti, yang menjadi permulaan melahirkan atlet berbakat besar.

“Apabila kementerian mahu menggerakkan aktiviti sukan, sudah tentu ia memerlukan perbelanjaan, selain perlu mengambil kira kos penyelenggaraan kemudahan. Di sini kita mengharapkan sokongan daripada pihak swasta untuk bersama-sama memajukan industri sukan negara,” katanya. -Bernama