Your Title

JASIN: Usia muda tidak menghalang Nurul Syaasyaa Khairina Samsur (gambar), 14, memasang impian untuk muncul sebagai jaguh angkat berat wanita negara suatu hari nanti dengan menjadikan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo Hidliyn Diaz sebagai inspirasi.

Bahkan, atlet pelapis negara itu berkata dia pernah menjalani latihan bersama Diaz di Pusat Latihan Angkat Berat Kesang Tua, di sini sebelum mendapat kepercayaan mewakili Melaka pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022.

Nurul Syaasyaa berkata sepanjang latihan itu, atlet Filipina tersebut turut mengajarnya teknik yang betul untuk beraksi cemerlang di pentas kejohanan yang disertai.

“Sampai sekarang saya masih menggunakan teknik dan ilmu dikongsi beliau yang saya anggap amat berharga. Ini kerana teknik yang betul penting bagi mengelakkan kecederaan ketika beraksi.

“Tunjuk ajar Diaz sedikit sebanyak turut menyumbang kepada kejayaan saya meraih pingat emas dalam kategori 49 kilogram di pentas SUKMA lepas, meskipun baru pertama kali dipilih mewakili negeri,” katanya kepada ketika ditemui selepas Program Pencarian Bakat Sukan Angkat Berat di Sekolah Kebangsaan Kesang Tua, di sini hari ini.

Anak kelima daripada tujuh beradik itu berkata dia menceburi sukan angkat berat pada usia 11 tahun ketika belajar di sekolah rendah berkenaan dan bermula dengan latihan menggunakan kayu sebagai asas sebelum dibenarkan melakukan latihan yang lebih berat.

“Pada mulanya saya sertai sukan ini sekadar suka-suka kerana di sekolah pada waktu itu ada program pencarian bakat atlet angkat berat, tidak sangka pula boleh sampai ke tahap ini.

“Setakat ini saya telah memperoleh lebih lima pingat emas menerusi beberapa kejohanan yang saya sertai, namun pencapaian terbaik ialah pada SUKMA. Saya perlu mempersiapkan lagi diri untuk menghadapi lebih banyak kejohanan besar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Mengenai kejohanan terdekat yang bakal dihadapinya, Nurul Syaasyaa Khairina berkata ketika ini dia sedang berlatih untuk beraksi di Kejohanan Angkat Berat Junior dan Senior Kebangsaan Rompin, Pahang pada Mac, diikuti Kejohanan Angkat Berat Junior dan Senior Komanwel di New Delhi pada Julai.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kesang Tua itu berkata bapanya, Samsur Midon, 54, yang turut melatihnya sejak dia mula menceburi sukan angkat berat, menjadi pembakar semangat dalam memperbaiki pencapaian atau rekod kejohanan yang disertai.

Sementara itu, Samsur berkata anaknya itu mempunyai semangat semula jadi, selain percaya dan mampu untuk bergelar seorang atlet angkat berat.

“Sebagai seorang bapa dan jurulatih, saya berharap Syaasyaa bukan sahaja dapat mengharumkan nama Melaka tetapi juga negara,” kata pesara tentera itu. -Bernama