• 2022-07-22 11:32 AM

SINGAPURA: Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah tampil anggun dengan mengenakan pakaian tradisional Baju Kurung Johor ketika mengiringi Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sempena lawatan rasmi ke Singapura yang bermula Rabu (20 Julai).

Raja Zarith Sofiah berkenan memakai Baju Kurung Johor bertemakan warna bendera Singapura yang telah ditenun kainnya oleh Yayasan Warisan Johor.

Baginda turut mengenakan loket khas berbentuk bunga orkid Vanda Miss Joaquim yang merupakan bunga kebangsaan Singapura.

Kerongsang itu dihadiahkan kepada baginda oleh Sultan Johor - rekaan berasaskan Diadem DiRaja, bulan sabit dan tujuh bintang sebagai lambang kepercayaan Islam serta kedudukan baginda selaku Permaisuri.

Untuk sesi lawatan hari kedua, Baju Kurung Johor baginda menampilkan tema bendera Johor dengan motif bunga rekaan gambir dan lada hitam Johor, bersama orkid Vanda Miss Joaquim Singapura, sebagai lambang hubungan rapat antara Johor dan Singapura.-Bernama