KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 perlu dilaksanakan bagi memberikan ruang kepada projek pembinaan semula kediaman yang lebih selesa untuk kesejahteraan rakyat.
“ ... tidak boleh kita biar pembangunan bandar ada Twin Tower (Menara Berkembar), semua ada, kemudian rumah merempat macam itu (tidak selesa), tidak boleh, kita kena lihat dari segi konteks itu, jadi RUU ini mesti dilakukan.
“Beri ruang kepada kerajaan untuk bangunkan rumah yang lebih selesa, sesuai dengan masa bagi kebanyakan rakyat, majoritinya Melayu, PSB ini dalam perjanjiannya rumah yang dimiliki akan diganti dengan rumah yang jauh lebih baik, kalau ada satu bilik, diganti dengan minimum tiga bilik,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Mohamed (PN-Kuala Terengganu) mengenai RUU PSB yang didakwa membolehkan sesebuah kediaman dirobohkan dan dibangunkan semula secara paksa selepas hanya 30 tahun.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkongsi mengenai pengalaman melihat sendiri keadaan perumahan yang teruk di Flat Seri Perlis di ibu negara.
“Di Seri Perlis, saya pergi tengok rumah satu bilik, teruk benar, ada satu keluarga, ada dua keluarga dan inilah tanggungjawab kita cari jalan untuk bangunkan semula dengan tiga bilik dan lebih sesuai untuk keluarga,” kata beliau - BERNAMA