BANGKOK: Tentera Laut Thailand meneruskan operasi pencarian tujuh lagi kelasi yang hilang selepas kapal tentera laut HTMS Sukhothai karam di Teluk Thailand pada 18 Dis.

Jurucakap Tentera Laut Pogkrong Montradpalin berkata, pasukan penyelamat menemukan satu lagi mayat kelasi yang hilang di pantai Koh Samet di wilayah Chumphon pada 8.20 pagi (waktu tempatan) Rabu.

Beliau berkata, proses bedah siasat dan pengecaman akan dijalankan untuk mengesahkan identiti mangsa.

Sehingga 11.30 pagi (waktu tempatan) Rabu, Tentera Laut Thailand telah menemukan 22 mayat kelasi yang hilang.

“Operasi pencarian di sepanjang pantai dan di sekitar lokasi kapal karam diteruskan bagi menjejaki tujuh lagi kelasi yang hilang,” katanya.

Pada 18 Dis, HTMS Sukhothai yang membawa 105 kelasi mengalami kerosakan enjin dan karam kira-kira 20 batu nautika dari wilayah Prachuap Khiri Khan pada 11.30 malam (waktu tempatan).

Operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran telah dilancarkan dan seramai 76 kelasi berjaya diselamatkan setakat ini.-Bernama