Polis Perak lengkapkan kertas siasatan kes runtuhan kuari

IPOH: Polis Perak sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes runtuhan menyebabkan dua mangsa dipercayai tertimbus di bawah runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, Mac lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid(gambar) berkata kertas siasatan yang sudah lengkap itu nanti akan dibawa kepada pihak koroner bagi mengeluarkan sijil kematian kedua-dua mangsa.

“Saya ada berbincang dengan Ketua Polis Daerah Ipoh (ACP Yahaya Hassan) baru-baru ini untuk lengkapkan siasatan sebagai kematian mengejut (SDR) supaya kita boleh bawa kertas siasatan itu kepada pihak koroner.

“Insiden ini sudah hampir dua bulan berlaku dan saya fikir semua sudah maklum kedua-dua mangsa tersebut tidak mungkin dapat diselamatkan lagi, cuma tidak menemukan mayat mereka saja lagi,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 18 Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 2022 Peringkat Negeri Perak di Plaza Tol Ipoh - Selatan arah utara, di sini hari ini.

Mior Faridalatrash berkata pengisytiharan kematian itu bagi membolehkan proses membuat pelbagai tuntutan seperti insurans dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dapat dilakukan sekali gus dapat meringankan bebanan keluarga mangsa.

“Sekarang kita masih lagi dalam proses untuk cuba mengeluarkan mangsa yang terlibat walaupun (operasi pencarian) masih belum membuahkan hasil.

“Kita akan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan, mungkin Pegawai Daerah yang mempengerusikan Jawatankuasa Bencana Daerah boleh bagi pandangan masing-masing, sama ada perlu atau tidak untuk teruskan pencarian mangsa,“ katanya.

Beliau berkata melalui perbincangan tersebut, satu keputusan tepat dapat dibuat berhubung perkara itu.

Kejadian pada 8 Mac lepas itu menyebabkan dua lelaki dipercayai tertimbus iaitu Kheow Loo Siew Soon, 49, dan Itam Lasoh, 43, manakala dua lagi, Mohd Razli Suhaimi, 35, mengalami patah tulang kaki serta Pan Tam, 38, hanya cedera ringan.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata 978 pegawai dan anggota ditugaskan sepanjang Op Selamat 18/2022 yang dijalankan selama 10 hari berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan melakukan pemantauan dengan melakukan rondaan di 16 kawasan panas (hotspot) di Jalan Persekutuan termasuk di kawasan lebuh raya antaranya di daerah Kampar, Muallim, Batu Gajah, Tapah, Hilir Perak, Manjung serta Taiping.-Bernama