KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 masjid di Wilayah Persekutuan dipilih sebagai pusat aduan dan khidmat kaunseling bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff(gambar).

Selain itu, beliau berkata dua masjid iaitu Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Masjid Al-Ghufran di pinggiran Taman Tun Dr Ismail dijadikan pusat transit untuk mangsa.

“Inisiatif ini adalah di bawah Pelan Pengimarahan Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024 dan bagi memperluaskan fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang menyediakan pelbagai kemudahan termasuk sokongan psikososial dan kerohanian,“ katanya yang turut memaklumkan setakat ini hanya seorang individu telah mendapatkan perlindungan di masjid.

Siti Zailah menjawab soalan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat, yang ingin tahu jumlah pemandiri keganasan rumah tangga yang dilindungi di masjid.

Sementara itu, beliau berkata cadangan menaikkan kadar bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000 adalah tertakluk kepada kelulusan dan kedudukan kewangan kerajaan.

Siti Zailah berkata kementeriannya mengemukakan cadangan itu kepada Kementerian Kewangan berikutan ia melibatkan peruntukan kewangan.

“Pelaksanaan ini adalah tertakluk mengikut jumlah keseluruhan bantuan kepada isi rumah yang sekiranya dilaksanakan satu keluarga, ada yang mendapat lebih RM1,900 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang bertanya bilakah bantuan bulanan JKM sebanyak RM1,000 untuk golongan orang kurang upaya (OKU) akan dilaksanakan.

Pada 3 Dis tahun lepas, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan cadangan menaikkan kadar bantuan JKM kepada RM1,000 sebulan berbanding RM200 hingga RM300 sekarang, akan dilaksanakan segera.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image