ALOR GAJAH: Bajet Melaka 2023 akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung selama empat hari bermula 12 Dis ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali (gambar) berkata pembentangan bajet berkenaan akan dilakukan pada hari pertama sidang DUN berkenaan.

“Antara fokus yang akan diberikan dalam Bajet Melaka 2023 ialah inisiatif yang dilakukan untuk meningkatkan ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat.

“Selain itu, bajet yang akan dibentangkan juga akan mengambil kira aspek kesejahteraan dan kebajikan rakyat Melaka,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Logo dan Lagu Rasmi Universiti Melaka (UniMel) serta Penyerahan Peranti Siswa yang turut dihadiri Naib Canselor UniMel Prof Dr Abdul Razak Ibrahim.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata semua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk pembangkang diberi peluang untuk membahaskan Bajet Melaka 2023 yang dibentangkan pada sidang DUN berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka memperuntukkan RM1 juta setiap tahun untuk 1,000 anak Melaka yang berjaya melanjutkan pengajian di UniMel dan Melaka International College of Science and Technology (Micost).

“Sebanyak 700 penuntut UniMel dan 300 pelajar Micost akan menerima insentif sebanyak RM1,000 setiap seorang sebagai bantuan meringankan beban mereka memulakan pengajian khususnya golongan B40,“ katanya.

Terdahulu, katanya penjenamaan semula Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) kepada UniMel yang kini berstatus universiti penuh diharap dapat melahirkan lebih ramai anak Melaka yang memiliki taraf pendidikan tinggi dan berjaya mendapat pekerjaan yang baik.-Bernama