KUALA NERUS: Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berlangsung di sini sejak Khamis lepas hingga hari ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran 32,458 pengunjung.

Pengarah Eksekutif Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama, Jabatan Perdana Menteri Wan Azilawati Wan Mahmood berkata seramai 6,872 orang direkodkan mengunjungi Jelajah AKM pada hari pertama dan meningkat kepada 9,959 orang pada hari kedua.

“Hari terakhir penganjuran Jelajah AKM yang berakhir pada 9 malam tadi pula mencatatkan seramai 15,627 pengunjung iaitu rekod kedatangan pengunjung tertinggi dalam tempoh tiga hari,“ katanya dalam kenyataan malam ini.

Bertempat di Kompleks Sukan Negeri di sini, majlis perasmian penutup Jelajah AKM itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob(gambar) pagi semalam.-Bernama