ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuka ruang kepada perbincangan berkaitan projek pembangunan di Kedah.
“Alhamdulillah, saya ucap terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana telah mula berlembut dan membuka pintu kepada sebarang perundingan berkaitan dengan projek-projek ekonomi,” katanya pada sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.
Terdahulu, semasa menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Kedah di persidangan itu, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri memohon sokongan kerajaan Persekutuan dalam pembangunan Perlabuhan Laut Dalam Sanglang dan pembangunan Kedah Aerotropolis di negeri ini.
Menurut beliau adalah sangat penting untuk Kedah memiliki projek pembangunan yang bersifat strategik yang bakal membantu memperkasakan negara di pentas geopolitik.
“Tujuannya selain untuk menyemarakkan pembangunan ekonomi dan memperkasakan ekosistem pelaburan, adalah untuk meningkatkan peranan negeri dalam menyokong negara dalam permainan geopolitik serantau,” katanya.
Beliau menambah kerajaan Kedah juga akan terus memainkan peranan yang aktif dan bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) dalam memacu pertumbuhan ekonomi di koridor utara. - Bernama