PUTRAJAYA: Stesen komuter mesti dilengkapi kemudahan lif dalam masa setahun dengan fokus pada fasa pertama adalah terhadap stesen besar yang belum dilengkapi kemudahan itu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata sasaran tersebut diberikan kepada Perbadanan Aset Keretapi (RAC) supaya mempercepat proses menyediakan lif di stesen yang masih belum dilengkapi kemudahan berkenaan.
Katanya ini berikutan rungutan yang sering diterima menyatakan ketiadaan lif di stesen komuter yang menyusahkan pengguna terutama golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan wanita mengandung.
“Pada stesen yang belum ada lif, kita berharap semua stesen komuter akan ada lif dalam masa setahun,“ katanya dalam majlis pelancaran aplikasi mudah alih Railway Assets Intelligence System (RAILS) yang dibangunkan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) di sini hari ini.
Loke berkata RAC juga telah diarahkan membuat laporan audit bersama Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) untuk dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan dengan kadar segera bagi mengenal pasti stesen yang perlu diberi keutamaan dalam penyediaan kemudahan itu.
“Buat audit dan bentang laporan, mana stesen yang memerlukan perlu diberi keutamaan. Audit patut siap dalam kadar segera, dalam tempoh sebulan mesti dibentangkan kepada pihak kementerian,” katanya.
Beliau berkata RAC, agensi yang menjaga aset keretapi termasuk tanah di sepanjang landasan dan mengurus tanah untuk pembangunan komersial, mempunyai kemampuan serta pendapatan untuk menyediakan kemudahan di stesen kerana memperoleh hasil daripada penyewaan.
Sementara itu, Loke berkata aplikasi RAILS menawarkan kemudahan permohonan sewaan aset kereta api secara dalam talian bagi memudahkan orang ramai menjadi rakan niaga RAC.
Kira-kira 1,300 penyewa dijangka menggunakan perkhidmatan RAILS dalam melakukan urus niaga dengan RAC, sekali gus dapat menamatkan masalah ejen pemungut serta kerenah birokrasi. -Bernama