PUTRAJAYA: Tarikh pendaftaran baharu dan kemas kini data bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) secara dalam talian dibuka mulai hari ini sehingga 31 Mac depan, kata Kementerian Kewangan (MoF).

“Ini bertujuan memastikan mereka yang layak atau masih tiada dalam pangkalan data kerajaan dapat mengemukakan permohonan masing-masing selain membolehkan penerima sedia ada yang mempunyai sebarang perubahan maklumat untuk membuat pengemaskinian,“ menurut MoF.

Ketika pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata STR 2023 akan membantu meringankan beban sara hidup hampir 9 juta penerima dengan peruntukan hampir RM8 bilion.

Pada 16 Jan lepas, Anwar mengumumkan pembayaran STR fasa satu kepada 8.7 juta golongan B40 bernilai RM1.67 bilion akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima berdaftar secara berperingkat pada 17 Jan.

Pembayaran STR dibuat mengikut kategori penerima dengan empat juta isi rumah masing-masing menerima RM300 manakala 1.2 juta warga emas yang tiada pasangan dan 3.5 juta penerima bujang masing-masing menerima RM100.

Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi maklumat lanjut.

MOF berkata data penerima STR fasa satu akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan bagi mengurangkan golongan yang tercicir atau exclusion error, selain data daripada beberapa agensi kerajaan akan disemak silang kelayakan STR mengikut syarat yang ditetapkan.

“Kementerian Kewangan juga akan memperhebatkan program turun padang bersama pemimpin komuniti dan pelusuk desa bagi memastikan STR dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image