Polis Johor siasat kes kanak-kanak 6 tahun cedera parah dikelar abang 9 tahun akibat marah kehilangan sejuta point permainan Roblox.
JOHOR BAHRU: Polis tidak menolak kemungkinan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah akibat dikelar dan ditikam di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat dicederakan oleh abangnya sendiri berusia sembilan tahun.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak demikian selepas berang apabila permainan dalam talian Roblox miliknya terganggu.
Beliau menyatakan kejadian itu menyebabkan kehilangan kira-kira sejuta mata terkumpul selepas mangsa merosakkan telefon bimbit berkenaan.
“Motif masih dalam siasatan, namun siasatan awal mendapati abang mangsa berkemungkinan mencederakan adiknya selepas permainan Roblox yang dimainkan terganggu dan semua point yang dikumpulnya hilang.
“Suspek dipercayai mengalami halusinasi pada waktu malam akibat pengaruh permainan itu dan seolah-olah diarahkan untuk mencederakan ahli keluarganya.
Beliau menambah suspek kemudian bertindak menyerang adiknya sendiri menggunakan pisau yang terdapat di dalam rumah.
Ab Rahaman berkata siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mendapatkan keterangan daripada mangsa yang kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
Ibu dan bapa kanak-kanak berkenaan, masing-masing berusia 40 tahun, telah ditahan reman mulai hari ini hingga esok bagi membantu siasatan.
Mereka ditahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Mangsa dan abangnya kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan pihak polis tidak mempunyai bidang kuasa untuk menahan mereka seperti pesalah lain.
“Bagaimanapun, ibu dan bapa mereka ditahan kerana dipercayai mengetahui mengenai kejadian itu.
Ab Rahaman menekankan perkara ini masih dalam siasatan awal dan tumpuan kini diberikan kepada soal siasat ahli keluarga.
Beliau berkata kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri bagi menentukan tindakan selanjutnya.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi Isnin lalu, mangsa ditemukan dalam keadaan parah dengan kesan kelar di leher kanan akibat senjata tajam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan dimulakan selepas pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 41 tahun pada pagi hari kejadian.
Menurutnya, wanita itu tersedar daripada tidur dan mendapati anak lelakinya mengalami kecederaan parah di leher sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
BACA: Pejabat Ahli Parlimen Damansara sedia bantu keluarga pelajar maut ditikam










