Malaysia tegaskan prinsip berkecuali dalam hubungan pertahanan antarabangsa walaupun jalankan latihan ketenteraan bersama AS, Australia, dan China
KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan pendirian sebagai negara berkecuali dalam hubungan pertahanan antarabangma walaupun menjalankan latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat dan Australia.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari menegaskan prinsip berkecuali terus menjadi tunjang dasar pertahanan negara.
Beliau berkata Malaysia turut menjalankan latihan ketenteraan bersama China serta rakan-rakan dalam ASEAN bagi memperkukuh kebolehoperasian dan hubungan serantau.
“Kita juga ada kerjasama latihan dengan China serta dalam konteks ASEAN,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
“Latihan ini dimanfaatkan dalam bentuk bilateral dan multilateral, dan prinsip negara berkecuali tetap dikekalkan.”
Beliau menjawab soalan tambahan Kapt (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi mengenai keselarian latihan tiga hala dengan dasar berkecuali Malaysia di rantau Indo-Pasifik.
Adly berkata pelaksanaan latihan bersama membuktikan komitmen Malaysia dalam memperkukuh keselamatan serta kesiapsiagaan pertahanan bersama rakan strategik.
“Pelaksanaan Eksesais KrS25 yang disertai Australia dan AS serta penganjuran bersama Warrior 2025 membuktikan komitmen Malaysia dalam memperkukuhkan aspek keselamatan dan kesiapsiagaan pertahanan bersama rakan strategik,” katanya.
Latihan pelbagai hala itu memberi ruang kepada Angkatan Tentera Malaysia memperkukuh kebolehoperasian dengan pasukan tentera asing.
ATM memanfaatkan latihan ini untuk meningkatkan kemahiran anggota melalui pembinaan ilmu dan kepakaran.
Pendedahan kepada teknologi, peralatan serta doktrin ketenteraan turut diperoleh melalui latihan tersebut.
“Pengalaman sebegini akan menjadi asas dalam memperkukuhkan transformasi pertahanan negara agar kekal relevan dengan ancaman kontemporari,” ujarnya.
Malaysia akan terus memperluaskan penyertaan dalam latihan pelbagai hala dan dua hala.
Negara juga akan meningkatkan perkongsian maklumat strategik serta memperkukuh hubungan pertahanan dengan negara sahabat.
Ini dilaksanakan melalui memorandum persefahaman, forum keselamatan serantau dan program strategik. – Bernama






